Carlos Tevez mengumumkan persaraannya daripada dunia bola sepak pada usia 38 tahun sambil berkata kematian bapanya merupakan sebab utama dia menolak tawaran untuk terus bermain.

Tevez menikmati karier gemilangnya dengan sebahagian besar daripadanya di England, di mana dia pernah bermain untuk Manchester United dan Manchester City.

Selain daripada tiga musim bersama kelab zaman remajanya, Boca Juniors, Tevez turut meluangkan umurnya bersama Corinthians, West Ham United, Juventus dan Shanghai Shenhua.

Tevez bermain untuk kali terakhir bersama Boca Juniors pada 2021 sdebelum mengucapkan selamat tinggal walaupun pada ketika itu masih ada pasukan berminat untuk mendapatkan khidmatnya.

Dalam satu petikan yang diterbitkan Mundo Albiceleste, Tevez berkata semalam bahawa walaupun dia mendapat tawaran daripada kelab Liga Utama Amerika Syarikat (MLS), dia berhenti untuk bermain bola sepak kerana peminat nombor satunya sudah tiada selepas kematian bapanya.

"Saya sudah bersara, ia memang sah.

"Mereka menawarkan banyak perkara, termasuk dari Amerika Syarikat tetapi ia seperti itu, saya sudah tidak mahu apa-apa.

"Bermain sepanjang tahun lalu amat sukar tetapi saya masih dapat melihat orang tua saya. Saya berhenti bermain kerana saya telah kehilangan peminat nombor satu," katanya.