FC KOLN 0 UNION BERLIN 1

Union Berlin meneruskan permulaan musim terbaik mereka dengan menduduki tangga teratas Bundesliga ketika ini.

Gol sendiri Timo Hubers pada awal permainan sudah cukup untuk skuad Iron Ones itu menewaskan FC Koln 1-0 di Rhein Energie Stadion malam tadi, sekali gus menjadi pendahulu baru liga berkenaan.

Kedudukan itu turut dibantu oleh keputusan perlawanan di venue-venue lain.

Kelmarin, Borussia Dortmund tewas 0-3 kepada RB Leipzig dalam perlawanan pertama pasukan lawan itu dibimbing bekas pengurus mereka, Marco Rose.

Dalam pada itu, pasukan juara bertahan, Bayern Munich, sekali lagi dinafikan tiga mata selepas terikat 2-2 dengan Stuttgart, di mana ia merupakan keputusan seri ketiga berturut-turut mereka dalam saingan liga.

Freiburg pula, yang beraksi awal pagi tadi, berpeluang untuk memintas Union Berlin tetapi mereka sekadar terikat 0-0 dengan Borussia Monchengladbach untuk kini berada di tangga kedua dan hanya dibezakan satu mata dengan pasukan pendahulu liga itu.

Union Berlin berpeluang cerah untuk mengukuhkan kedudukan mereka apabila melayani kunjungan pasukan di kelompok bawahan liga, Wolfsburg, hujung minggu ini sambil Bayern dan Dortmund pula perlu menghadapi aksi 'derby', masing-masing menentang Augsburg dan Schalke 04.