Thomas Tuchel menegaskan bahawa dia tiada sebarang masalah peribadi ketika memilih untuk tidak meletakkan Thomas Muller dalam kesebelasan utama kedua-dua perlawanan suku akhir Liga Juara-Juara Eropah (UCL), di mana Bayern Munich tersingkir di tangan Manchester City baru-baru ini.

Pemain berusia 33 tahun itu disingkirkan daripada barisan permulaan menentang Manchester City di Munich dan Bayern kemudian tersingkir dengan kekalahan agregat 1-4 untuk mereka terkandas di peringkat itu buat kali ketiga berturut-turut.

Muller merupakan pemain paling berjaya dalam sejarah Bayern, di mana dia memenangi 11 gelaran Bundesliga dan dua kejuaraan UCL sepanjang karier gemilangnya bersama skuad Bavaria itu.

Dia mempunyai peluang untuk memenangi satu lagi kejuaraan liga domestik musim ini tetapi hanya itulah peluang Bayern untuk menjulang trofi selepas tersingkir di peringkat Eropah dan tewas kepada Freiburg dalam suku akhir DFB-Pokal.

Terdapat cakap-cakap mendakwa bahawa pengendali baru Bayern, Tuchel, mempunyai masalah peribadi dengan legenda kelab itu, Muller, tetapi ketua jurulatih berkenaan menafikan terdapat hubungan tegang sesama mereka sambil berkata dia teramat kagum dengan cara Muller menerima caranya dalam pemilihan pemain.

"Saya sendiri seorang peminat tegar Thomas Muller. Dia semenangnya pemain berkelas dunia," kata Tuchel dalam sidang media.

"Perlawanan di Manchester tidak terlalu sesuai untuknya. Jika tidak, dia berkemungkinan akan bermain. Banyak perlawanan lain yang lebih sesuai untuk Muller.

"Segalanya baik ketika ini. Saya gembira dengan reaksinya dalam sesi latihan semalam. Dia menangani situasi dengan sikap yang wajar dicontohi. Dia terus beraksi dan mendorong pasukan ini bersamanya.

"Tetapi saya ada keputusan yang perlu dibuat, adakalanya ia sukar.

"Tiada sebarang niat peribadi terhadapnya. Semua orang perlu menerima bahawa ia satu situasi yang kompetitif," katanya.