Youssoufa Moukoko terkejut apabila terdapat laporan mendakwa bahawa dia enggan menandatangani kontrak baru bersama Borussia Dortmund selepas mencuri perhatian beberapa kelab elit Eropah.

Manchester United, Liverpool dan Chelsea dilaporkan antara yang berminat untuk mendapatkan pemain berusia 18 tahun itu, yang turut menjadi sasaran Barcelona selepas mencuri perhatian di Bundesliga.

Penyerang muda itu telah melakukan 59 penampilan buat Dortmund tetapi masa depannya bersama kelab itu masih samar selepas ejennya, Patrick Williams, mendedahkan bahawa dia mungkin tidak akan menandatangani kontrak baru.

Akhbar Jerman, BILD, melaporkan Moukoko sedang menunggu tawaran yang lebih lumayan daripada majikannya itu tetapi pemain itu menafikan dakwaan berkenaan dalam satu kiriman Instagram.

"Tolong jangan percaya apa yang ditulis akhbar berkenaan. Saya tidak akan membenarkan diri saya ditekan untuk menentukan masa depan saya," tulis pemain remaja itu sebelum memadam kiriman tersebut.

"Saya tidak akan pernah dapat menerima pembohongan seperti itu tentang diri saya. Fokus saya adalah sepenuhnya buat separuh kedua musim ini bersama Borussia Dortmund.

"Tiada pemain lebih besar daripada kelab ini dan saya tidak pernah menjadi lebih besar daripada kelab ini, saya hanya sebahagian kecil daripadanya.

"Amat menyedihkan apabila sesuatu seperti ini diada-adakan untuk memberikan anda sebagai penyokong satu gambaran yang tidak betul tentang diri saya. Saya amat terkejut dengan berita ini," katanya.