Bundesliga: Mathys Tel jadi penjaring termuda Bayern Munich ketika diikat Stuttgart
Muzaffar Musa
September 11, 2022 09:08 MYT
September 11, 2022 09:08 MYT
BAYERN MUNICH 2 STUTTGART 2
Mathys Tel menjadi pemain termuda menjaringkan gol sepanjang sejarah Bayern Munich dalam Bundesliga tetapi pasukan juara bertahan itu dibolosi dalam watu kecederaan untuk terikat 2-2 dengan Stuttgart di Arena Allianz lewat malam tadi.
Ia merupakan keputusan seri ketiga berturut-turut buat Bayern dalam saingan liga musim ini walaupun mereka bermula dengan baik hasil jaringan Mathys Tel pada minit ke-36.
Pemain remaja kebangsaan Perancis itu, yang baru berusia 17 tahun dan 136 hari, menjadi pemain termuda memulakan perlawanan liga buat Bayern selepas turut menemui sasaran dalam pusingan pertama Piala Jerman sebelum ini.
Dia kemudian memastikan penampilan itu ditandakan dengan jaringan liga pertamanya dengan menyumbat masuk bola hasil lintangan licik Alphonso Davies.
Bagaimanapun, Chris Fuehrich kemudian kembali menyamakan kedudukan buat Stuttgart pada minit ke-57.
Bayern kembali di depan selepas sejam perlawanan, kali ini menerusi seorang lagi pemain remaja, Jamal Musiala, yang baru berusia 19 tahun.
Kesilapan Matthijs de Light dalam waktu kecederaan mengundang padah buat Bayern, di mana tindakannya menjatuhkan Serhou Guirassy memberikan pelawat sepakan penalti yang kemudian disudahkan sendiri penyerang itu untuk keputusan berakhir 2-2.