Pemain tengah menyerang Eintracht Frankfurt, Daichi Kamada, akan meninggalkan pasukan itu secara ejen bebas pada penghujung musim ini, demikian disahkan kelab Bundesliga berkenaan.

Kamada menghabiskan empat tahun bersama Eintracht selepas menyertainya daripada pasukan Belgium, Sint-Truiden, dan telah menghasilkan 37 gol dan 31 bantuan jaringan daripada 170 penampilan sekatat ini.

Pemain kebangsaan Jepun itu merupakan sebahagian daripada pasukan berkenaan ketika menjuarai Liga Europa (UEL) musim lalu dan kini dikaitkan untuk menyertai beberapa pasukan gergasi Eropah seperti Barcelona, Manchester United dan Chelsea.

Kontrak Kamada di Stadium Deutsche Bank akan tamat pada penghujung musim ini dan pemain berusia 26 tahun itu memilih untuk tidak menandatangani kesepakatan baru dan ia bermakna, dia boleh menyertai mana-mana pasukan lain secara perpindahan percuma.

Kelab itu berkata dalam satu kenyataan ringkas: "Eintracht Frankfurt dan Daichi Kamada akan membawa haluan berbeza selepas tamat musim 2022-23".