BAYERN MUNICH 4 HEIDENHEIM 2

Harry Kane meneruskan permulaan prolifiknya bersama Bayern Munich apabila menjaringkan dua gol buat pasukan juara bertahan itu ketika menewaskan Heidenheim 4-2 dalam perlawanan Bundesliga di Arena Allianz malam tadi.

Kane meletakkan Bayern di depan menerusi dua golnya dalam babak pertama -- keseluruhan 21 gol buat pasukan gergasi Jerman itu dalam kesemua kejohanan -- tetapi pelawat kemudian bangkit menyamakan kedudukan hasil sentuhan penyudah Tim Kleindienst dan Jan-Niklas Beste, masing-masing pada minit ke-67 dan 70.

Bagaimanapun, keadaan itu tidak bertahan lama, di mana Raphael Guerreiro kembali meletakkan pelawat di depan berselang dua minit sebelum Eric Maxim Choupo-Moting menanduk masuk satu lagi gol pada minit ke-85 bagi memastikan kemenangan pasukan bimbingan Thomas Tuchel berkenaan.

Tiga mata dalam perlawanan kali ini menyaksikan Bayern menduduki tangga teratas Bundesliga dengan kelebihan satu mata di atas Bayer Leverkusen, yang akan turun menentang Union Berlin malam ini.