"Bukan pemain yang cipta keadaan ini, kita yang cipta keadaan ini."

Tanpa menyebut mana-mana pihak, ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon, meluahkan kekecewaannya terhadap apa yang berlaku kepada pasukannya sehingga tewas 0-2 kepada Oman di Stadium Nasional Bukit Jalil malam tadi.

Ia merupakan kekalahan kedua berturut-turut Harimau Malaya dalam kempen pusingan kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 dan nasib malang itu menimpa ketika skuad skuad negara dilanda masalah tiada aksi kompetitif.

"Kita yang menyediakan keadaan ini kepada pemain," kata Pan-gon dalam sidang media seperti yang dipetik wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam.

"Sudah berapa bulan mereka tidak memiliki perlawanan? Mereka bukan mesin.

"Bagi saya, walaupun mereka melakukan kesilapan -- saya rasa sakit hati, kerana kita yang memaksa mereka berada dalam situasi ini.

"Mungkin Malaysia akan rasa sesalan yang besar selepas ini. Bukan pemain yang cipta keadaan seperti ini. Kita yang cipta keadaan seperti ini. Dengan tiada perlawanan," katanya.