Hasrat Chelsea untuk melakar kejutan dan mencatatkan kemenangan kali keempat berturut-turut digagalkan oleh semangat waja Arsenal yang tidak kenal erti putus asa.
Beraksi di halaman sendiri, Chelsea nyata mempamerkan aksi yang jauh berbeza berbanding sewaktu musim ini baru dimulakan beberapa bulan lalu.
Biarpun sekadar menduduki tangga pertengahan liga berbanding Arsenal yang selesa di kawasan puncak, The Gunners yang kelihatan bergelut untuk menyamai rentak Chelsea, terutama semangat serta stamina yang ditunjukkan oleh pemain-pemain muda mereka.
Menjelang minit ke-15, tandukan Mykhailo Mudryk melantun dan terkena tangan pertahanan Arsenal, William Saliba, di dalam kotak penalti.
Tidak kira berapa kali diulang tayang sekalipun, lantunan itu kelihatan tidak disengajakan, namun semakan sistem VAR memberikan keputusan sepakan penalti -- mungkin perlawanan ini memang ditakdirkan menyebelahi Chelsea.
Keputusan mengejutkan ini turut dibantah oleh bekas kapten Chelsea, John Terry, dalam ciapan di laman media sosial X.
“Saya akan berasa cukup bengang jika keputusan sebegitu diberikan ketika tempoh saya masih bermain,” ujar Terry.
Cole Palmer tenang menyempurnakan sepakan penalti dan bermula dari detik itu, Chelsea bermain dengan lebih agresif lagi.
Sewaktu hantaran silang Mudryk melencong masuk dan menerjah gawang Arsenal pada penghujung separuh masa pertama, penyokong pastinya pasrah dan mula menerima hakikat yang nasib tidak menyebelahi mereka.
Gol itu sendiri membangkitkan kenangan Piala Dunia 2002 sewaktu England menentang Brazil, di mana tendangan percuma Ronaldinho menerjah jaring sedangkan ia kelihatan seperti pemain itu berniat melakukan hantaran.
Dalam hal ini, Mudryk pastinya langsung tidak peduli bagaimana kesemua pihak mahu memberikan interpretasi terhadap tendangannya. Yang penting, dia telah menjaringkan gol sulung di Stamford Bridge setelah sekian lama menunggu dan pasukannya selesa dua gol di hadapan.
Di pihak bertentangan, penjaga gol Arsenal, David Raya, telah meraih tempatnya sejak beberapa perlawanan yang lalu, mengetepikan Aaron Ramsdale yang menjawat posisi itu buat sekian lama, setelah berjaya memenangi hati pengurus, Mikel Arteta.
Malang sekali, perlawanan ini menyaksikan dia cukup gugup dan tidak teratur sejak minit pertama lagi, dan gol itu hanya mampu dijaringkan kerana dia tidak berada di posisi tepat.
Raya nyaris menghadiahkan gol ketiga buat Chelsea beberapa minit kemudian hasil hantaran silap yang menuju tepat ke arah lawan, namun mujurlah peluang itu gagal dimaanfatkan.
Arsenal memulakan separuh masa kedua dengan semangat bertarung yang mantap, Chelsea pula cuba sebaik mungkin untuk kekal tenang dan bersandar pada bekal dua gol mereka untuk kekal hingga ke minit akhir permainan.
Malang sekali, mungkin akibat aspek kekurangan pengalaman atau kehilangan fokus pada detik penting, minit ke-77 menyaksikan giliran penjaga gol Chelsea, Robert Sanchez, pula melakukan kesilapan besar.
Biarpun tanpa berhadapan sebarang tekanan, Sanchez melakukan kesilapan dalam hantaran dan bola singgah tepat ke kaki pemain tengah Arsenal, Declan Rice, yang melepaskan rembatan padu ke arah gol yang tidak dikawal.
Detik itu menyaksikan perubahan momentum sepenuhnya dan hanya selang tujuh minit kemudian, Bukayo Saka melorongkan bola dari sayap kanan buat pemain gantian, Leandro Trossard, menerjah masuk dan menyudahkan jaringan penyamaan yang cukup cantik.
Saat perlawanan tamat, kedua-dua pasukan terpaksa berputih mata.
Chelsea berang kerana gagal menyempurnakan misi, Arsenal pula kecewa kerana tidak mempamerkan rentak kebiasaan mereka dan terlepas peluang untuk kembali ke persada liga.