Pemain sayap Tottenham, Bryan Gil, akan kembali ke Sevilla secara pinjaman sehingga penghujung musim ini selepas 18 bulan meninggalkan kelab itu.

Gil bergelut untuk mendapatkan minit permainan sejak menyertai Spurs menjelang musim 2021-22, di mana dia kemudian menghabiskan separuh kedua musim lalu dengan dipinjamkan ke Valencia dan berhasil membantu pasukan itu ke final Copa del Rey.

Pemain berusia 21 tahun itu, yang telah melakukan empat penampilan bersama skuad senior Sepanyol, hanya dapat beraksi selama 148 minit dalam kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) di bawah bimbingan Antonio Conte musim ini.

Sevilla kini menduduki tangga ke-13 LaLiga -- hanya dibezakan dua mata dengan kelompok tiga terbawah -- selepas melalui musim mengecewakan setakat ini dan dilaporkan tidak memohon klausa pembelian secara tetap untuk mendapatkan Gil.

Mereka seterusnya akan meneruskan saingan dengan bertandang ke laman pendahulu LaLiga, Barcelona, hujung minggu ini selepas mencatatkan kemenangan 3-0 ke atas Elche pada Sabtu lalu sebagai kebangkitan berikutan kekalahan kepada Osasuna dalam Copa del Rey.