Bordeaux diturunkan ke Liga Divisyen Tiga Perancis gara-gara masalah kewangan.

Kelab itu menamatkan saingan Ligue 1 musim ini di tangga tercorot dan sepatutnya beraksi dalam Ligue 2 buat kali pertama sejak awal 1990-an.

Bagaimanapun, perkembangan terbaru mendapati mereka menerima hukuman daripada Direktorat Kawalan dan Pengurusan Kebangsaan (DNCG), yang mengarahkan mereka untuk bersaing dalam Liga National 1 musim depan selepas satu kajian terhadap kekuatan kewangan kelab itu dijalankan.

Bordeaux, yang merupakan juara Ligue 1 pada 2009, mengesahkan mereka akan mengemukakan rayuan terhadap hukuman itu, yang dilaporkan akan memberikan mereka dua minggu lagi untuk memperkukuhkan kewangan.

Bordeaux dipercayai menanggung beban hutang bernilai €40 juta (RM184.63 juta) tetapi dalam satu kenyataan yang dikeluarkan kelab itu berkata mereka mempunyai keyakinan dapat mengubah keputusan hukuman berkenaan.

"Berdasarkan apa yang didengar daripada DNCG pada 14 Jun, kelab ini memberikan jaminan untuk mengadakan perbincangan semula bersama pemegang saham majoriti dengan jumlah €10 juta (RM46.15 juta), satu perjanjian dengan pemegang hutang kelab dan juga menawarkan untuk menjual beberapa pemain, yang jumlah terkumpulnya akan melebihi objektif yang ditetapkan oleh Suruhanjaya [Kawalan Kelab Profesional]," kata kenyataan itu.