Bonucci mahu sertai barisan legenda Milan
Penulis Jemputan
July 21, 2017 08:53 MYT
July 21, 2017 08:53 MYT
Pertahanan baru AC Milan, Leonardo Bonucci, berhasrat mahu meletakkan namanya di dalam sejarah kelab itu setanding dengan legenda seperti Franco Baresi, Alessandro Costacurta dan Paolo Maldini.
Bonucci mengesahkan perpindahan mengejut dari Juventus dengan nilai EUR42 juta (RM209 juta), semalam dan dia turut menamakan Alessandro Nesta serta Mauro Tassotti sebagai inspirasinya berhijrah ke Milan.
“Apabila anda memikirkan AC Milan, secara semulajadi anda akan terbayang sejarah pasukan serta pemain-pemain yang pernah menyarungkan jersi mereka,” kata Bonucci.
“Saya terbayang akan aksi Baresi, Costacurta, Maldini, Nesta dan Tassotti.
“Saya amat kagum dengan sumbangan mereka kepada kelab ini dan semestinya mereka adalah legenda,” tambahnya.
“Saya tiba di Milan hari ini untuk membuka sejarah baru untuk Rossoneri dan juga karier saya.
“Cabarannya baru bermula bersama rakan sepasukan yang turut dahagakan kejayaan seperti saya,” ujar Bonucci.