Benzema ambil keputusan bakal tinggalkan Real Madrid
Ammar Hakim
June 4, 2023 07:16 MYT
June 4, 2023 07:16 MYT
Bintang Real Madrid, Karim Benzema akan meninggalkan kelab itu selepas 14 tahun.
Penyerang Perancis Benzema, 35, memenangi 25 trofi sepanjang berada di Madrid dan menjaringkan 353 gol dalam 647 penampilan untuk menjadi penjaring terbanyak kedua Real selepas Cristiano Ronaldo.
“Real Madrid dan kapten kami Karim Benzema telah bersetuju untuk menamatkan tempoh cemerlang dan tidak dapat dilupakannya sebagai pemain untuk kelab kami,” menurut kenyataan kelab dari gergasi Sepanyol itu.
Comunicado Oficial: Benzema.#RealMadrid.
— Real Madrid C.F. (@realmadrid) June 4, 2023
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
“Real Madrid melahirkan rasa terima kasih dan kasih sayangnya kepada pemain yang sudah pun menjadi antara legenda terhebat kami.
“Kerjaya Karim Benzema di Real Madrid telah menjadi contoh kelakuan dan profesionalisme yang cemerlang, dan dia telah mewakili nilai-nilai kelab kami. Karim Benzema telah mendapat hak untuk menentukan masa depannya.
“Madridistas dan semua peminat di seluruh dunia telah menikmati bola sepaknya yang ajaib dan unik, yang menjadikannya salah satu ikon hebat kelab kami dan salah satu legenda bola sepak dunia yang hebat.
“Real Madrid adalah dan akan sentiasa menjadi rumahnya, dan kami mendoakan yang terbaik untuknya dan semua keluarganya dalam peringkat baharu dalam hidupnya ini.”
Benzema, Pemenang Ballon d’Or dan Pemain Terbaik UEFA, menyertai Real dari Lyon pada Julai 2009 dengan bayaran perpindahan yang dilaporkan sebanyak EURO35 juta.
Dia berada di tempat kelima dalam senarai pemain dengan penampilan Real terbanyak dan trofinya di Sepanyol termasuk lima Liga Juara-Juara, lima Piala Dunia Kelab, empat Piala Super Eropah, empat gelaran LaLiga, tiga Copas del Rey dan empat Piala Super Sepanyol.
Benzema telah dikaitkan dengan perpindahan ke kelab Arab Saudi, Al-Ittihad.