Benzema: Akhir sebuah impian

Asmawi Bakiri
December 27, 2022 13:47 MYT
Kemaraan Perancis ke perlawanan akhir Piala Dunia, 18 Disember lalu, hadir di sebalik krisis kecederaan yang melanda beberapa pemain penting, antaranya Paul Pogba, N'Golo Kante dan Christopher Nkunku.
Namun, semestinya ketiadaan yang paling diberikan perhatian adalah pemenang anugerah Ballon D'Or 2022, Karim Benzema.
Benzema dilaporkan mengalami kecederaan paha beberapa hari sebelum perlawanan pertama Perancis menentang Denmark dan terpaksa dihantar pulang.
Anehnya, setelah dirawat dan diteliti oleh barisan doktor di kelabnya, Real Madrid, mereka memutuskan bahawa Benzema hanya mengalami kecederaan ringan dan mampu pulih dengan cepat tanpa perlu disingkirkan daripada kem latihan.
Dari sini, bermulalah ura-ura bahawa pengurus pasukan kebangsaan Perancis, Didier Deschamps, serta pemain-pemain lain sebenarnya tidak menyenangi kehadiran Benzema dan berpendapat bahawa mereka boleh beraksi lebih baik tanpanya.
Beberapa hari sebelum perlawanan akhir, laporan The Daily Mail mengatakan bahawa Benzema mungkin bakal terbang semula ke Qatar untuk memperkuatkan pasukan dan bersedia untuk turun ke padang jika diperlukan.
Malah, dia turut menerima tawaran untuk menaiki jet peribadi presiden Perancis, Emmanuel Macron, bagi tujuan menyaksikan perlawanan akhir di stadium, tidak kiralah sama ada dia memilih untuk turun ke padang ataupun tidak.
Benzema menolak tawaran itu sebelum mendedahkan yang hubungannya dengan Deschamps telah retak sepenuhnya.
Benzema mendakwa dia lebih daripada mampu untuk menjalani proses pemulihan dan kekal di Qatar serta mengesahkan yang kecederaan dialaminya hanyalah kecederaan ringan tetapi dipaksa oleh Deschamps untuk pulang pada akhirnya.
Dalam perkembangan terkini, akhbar Sepanyol, AS, melaporkan bahawa seorang lagi pemain utama Perancis, Antoine Griezmann, telah meluahkan rasa tidak puas hati kerana Benzema menerima layanan khas pihak media.
Kebanyakan liputan berita sebelum perlawanan bermula tertumpu kepada pemain itu seorang sehingga seolah-olah mengetepikan kesemua pemain lain dalam skuad.
Sehari selepas kekalahan Perancis di tangan Argentina dalam final, Benzema membuat pengumuman bersara daripada pasukan kebangsaan serta-merta, diikuti pendedahan lanjut pihak media yang menunjukkan Benzema telah menyahikut hampir kesemua rakan sepasukannya dalam pasukan kebangsaan di Instagram.
Drama yang terjadi ini memperlihatkan sisi buruk bola sepak, di mana isu peribadi serta kegembiraan pemain tertentu dilihat lebih penting daripada prestasi individu secara keseluruhan.
Namun, ia semestinya merupakan sesuatu yang sukar untuk dielakkan apabila begitu ramai pemain bintang dikumpulkan bersama-sama dalam satu kelompok yang besar.
Masa depan Deschamps bersama pasukan kebangsaan Perancis dilaporkan masih belum jelas, dengan adanya ura-ura bekas pengurus Real Madrid, Zinedine Zidane, bakal dilantik untuk menggantikannya.
Kehadiran Zidane dikatakan bakal mendorong Benzema untuk menarik balik persaraannya kerana pengurus itu merupakan seseorang yang sangat Benzema segani atas segala tunjuk ajarnya sewaktu mengemudi Real Madrid.
Namun, dengan usia yang sudah mencecah 35 tahun, serta fokus di bahagian serangan diberikan terhadap Kylian Mbappe hampir sepenuhnya, wajarkah Benzema memilih untuk bersama dengan pemain-pemain yang tidak mengalu-alukan kehadirannya?
Kemungkinan besar kita tidak lagi bakal melihat kelibat Benzema menyarung jersi Les Bleus dan saki-baki kerjayanya seharusnya ditumpukan untuk meraih kejayaan lebih lanjut bersama Real Madrid semata-mata.
#bola sepak #Real Madrid #Karim Benzema #Didier Deschamps #Perancis #Rencana #Piala Dunia Qatar
;