Kurang dua minggu menjelang aksi suku akhir pertama Piala Presiden pada 18 September ini, skuad T-Team dituntut segera memperkemaskan rentak permainan sekiranya berhajat mengulangi pencapaian musim lalu.

Pengendali, Tengku Hazman Raja Hassan, menyifatkan pasukan itu masih dihimpit kelemahan paling ketara, iaitu tahap kecergasan yang belum mencapai tahap dikehendakinya.

Bekas ketua pasukan negara itu merujuk kepada kekalahan 0-2 di tangan skuad Liga Perdana Terengganu dalam aksi pemanas badan, kelmarin.

Dia juga menjelaskan pemain-pemain lebih banyak menjadi pemerhati ketika bertemu lawan berpengalaman itu.

“Dari segi persefahaman dan keserasian, kami tidak menunjukkan sebarang masalah. Saya cuma tidak berpuas hati dengan tahap kecergasan pemain.

“Beberapa aksi persahabatan lagi akan diatur untuk meningkatkan stamina mereka,” kata Tengku
Hazman.

T-Team yang juga naib juara musim lalu akan membuat perhitungan dengan pasukan setempat, Terengganu, dalam perlawanan timbal balik pada 18 dan 25 September ini.