Bekas pemain skuad kebangsaan, Dato' Zainal Abidin Hassan, memberikan pujian kepada kemampuan Terengganu FC menurunkan benteng pertahanan tempatan malah rata-rata daripada mereka yang masih lagi muda ketika bertemu Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam aksi final Piala Malaysia Jumaat lalu.

Skuad bimbingan Tomislav Steinbrucker menurunkan Muhammad Ubaidullah Shamsul Fazili, Azam Azmi Murad, Safwan Mazlan, serta Shahrul Nizam Ros Hasni ketika berdepan JDT dalam aksi final yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil tempohari.

Rata-rata daripada mereka merupakan pemain muda, mereka telah meraih pengalaman cukup bermakna beraksi dalam aksi final bertemu pasukan yang ditunjangi antara penyerang berbisa dalam saingan Liga Malaysia.

Zainal menerusi program Nindia, berkata, "Pujian harus diberikan kepada barisan pemain pertahanan Terengganu ketika bertemu JDT.

"Mereka telah mempamerkan peningkatan, menurunkan pertahanan yang cukup berkualiti dan hanya dibolosi menerusi situasi bola mati (sepakan penalti, sepakan sudut).

"Mereka adalah pemain tempatan dan juga masih memiliki pengalaman yang cukup panjang di hadapan mereka."

Terengganu terpaksa akur dengan kekalahan di final, 3-1 di tangan JDT sekaligus menyaksikan Harimau Selatan melengkapkan kejuaraan 'quadruple' berganda.

Mereka bakal berhadapan Bali United pada Rabu ini untuk aksi terakhir kumpulan Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) sebelum melengkapkan aksi Liga Super bertemu Perak dengan kedua-dua perlawanan berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.