Banyak pasukan sedia uji Harimau Malaya

Sinar Harian
February 8, 2023 12:18 MYT
Skuad Harimau Malaya akan mengharungi beberapa aksi persahabatan tahun ini sebagai persiapan menghadapi saingan Piala Asia pada Januari 2024.
Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin, berkata beberapa pasukan sudah mengesahkan untuk mengadakan perlawanan bertemu Harimau Malaya tetapi enggan mendedahkan nama pasukan berkenaan.
"Sebenarnya kami sudah memuktamadkan dengan beberapa pasukan sudah mengesahkan untuk menentang pasukan negara tetapi biar Kim Pan-gon buat pengumuman.
"Kita akan ada dua perlawanan pada Mac, Jun, September dan juga Oktober. Oktober itu mungkin akan ada penganjuran Pestabola Merdeka," katanya ketika ditemui media dalam majlis kesyukuran selepas dia dipilih sebagai Ahli Majlis FIFA 2023-2027 di Wisma FAM semalam.
Skuad negara tidak mempunyai kejohanan besar yang akan disertai tahun ini dan hanya boleh mengharapkan aksi persahabatan untuk mengasah taring sebelum Piala Asia 2024.
Sebelum ini, dikatakan bahawa Australia dijangka menjadi salah satu pasukan yang akan menguji pasukan negara dalam aksi persahabatan.
Dalam pada itu, Hamidin turut mahu Harimau Malaya mencatatkan keputusan positif dalam kesemya aksi persahabatan itu untuk mengelakkan jatuh di kedudukan ke-26 dalam kalangan negara Asia.
Menurutnya, jika pasukan negara jatuh ke kedudukan ke-26, ia akan menyaksikan harimau Malaya perlu bermain aksi kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027.
"Bulan Oktober kita kena hati-hati kerana kita berada di kedudukan ke-25 di Asia. Hong Kong pula berada di kedudukan ke-26 dengan perbezaan beberapa mata.
"Jika kita jatuh ke kedudukan ke-26, kita kena bermain dua perlawanan kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027," katanya lagi.
Kredit: Sinar Harian
#bola sepak #Harimau Malaya #Persatuan Bolasepak Malaysia