Pemilik Kedah Darul Aman, Tan Sri Dr Daud Bakar, berkata kelab itu menghormati kenyataan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, berkenaaan tiada lagi bantuan daripada pihak Kerajaan Negeri untuk membantu menyelesaikan masalah tunggakan gaji mereka.

Di samping itu, KDA juga berharap agar pihak penaja dan penyokong dapat membantu mereka membina semula pasukan itu yang disifatkannya sedang tenggelam.

"Berkenaan maklumbalas daripada YAB Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, Menteri Besar Kedah, berkenaan tiada bantuan daripada pihak Kerajaan Negeri dalam isu tunggakan gaji, KDA FC menghormati kenyataan tersebut dan menghargai segala bentuk bantuan dan sokongan selama ini," katanya dalam sidang media.

"Namun begitu, KDA FC percaya dan yakin pihak Kerajaan Negeri dan agensi kerajaan akan mencari ruang dan peluang untuk bersama-sama memantu pembangunan bola sepak di Kedah, termasuk KDA FC yang merupakan tiang utama bola sepak negeri.

"Namun, sebagai kelab yang diswastakan sepenuhnya pada Ogos 2022, kestabilan dan keutuhan kewangan adalah amat penting dan pada masa sama, ia amat mencabar untuk bersaing di peringkat Liga Super yang amat kompetitif.

"KDA FC amat memerlukan sumber dana kewangan yang kukuh, stabil dan terjamin.

"KDA FC menghormati keputusan kerajaan negeri dan memahami bahawa segala tanggungjawab dan liabiliti kewangan adalah ditanggung atau tertanggung sepenuhnya oleh pemilik-pemilik saham KDA FC, yang merupakan individu-individu.

"KDA FC juga berharap sokongan dan sumbangan daripada pihak penaja dan peminat untuk membina semula pasukan yang sedang tenggelam," katanya.

Badan bebas, First Instance Body (FIB), sebelum ini menetapkan bahawa Kedah perlu menyelesaikan baki tunggakan gaji pada tarikh akhir kedua, 20 April ini, selepas gagal melakukannya pada tarikh akhir pertama pada 30 Mac lalu.

Ia menyaksikan skuad Kenari itu dikenakan pemotongan tiga mata dan denda sebanyak RM50,000, bahkan mereka mungkin tidak dapat memperbaharui lesen kebangsaan sandainya sekali lagi gagal mematuhi tarikh akhir yang ditetapkan.