Beregu wanita utama negara, Pearly Tan-M. Thinaah, dipaksa bermandi peluh sebelum mengesahkan tempat dalam separuh akhir Kejohanan Badminton Terbuka India dengan menewaskan gandingan Jepun, Yuki Fukushima-Mayu Matsumoto, di New Delhi sebentar tadi.

Kedua-dua beregu saling berkejaran mata sejak dari awal set pertama tetapi selepas kedudukan terikat 16-16, Pearly dan Thinaah tidak lagi melihat ke belakang untuk mencatatkan kemenangan 21-18.

Pearly dan Thinaah kemudian mendahului 7-2 pada awal set kedua tetapi mereka sekali lagi memebenarkan lawan mengejar pada pertengahan saingan sebelum kembali mendapatkan rentak untuk mencatatkan kemenangan 21-19 selepas secara keseluruhan bertarung selama 57 minit.

Mereka seterusnya akan menantikan pemenang di antara dua beregu Korea Selatan, Kim Hye Heong-Kong Hee Yong dan Baek Ha Na-Lee So Hee, bagi penentuan ke final esok.