Badi Ansu Fati berterusan selepas mengalami kecederaan kaki semasa latihan pramusim

Fatin Ruzaiman
July 25, 2024 10:55 MYT
Penyerang Barcelona, ​​Ansu Fati, mengalami kecederaan kaki semasa sesi latihan pramusim selepas kembali daripada tempoh pinjaman yang mengecewakan di Brighton & Hove Albion.
Harapan tinggi untuk Fati apabila dia menikmati musim kegemilangannya pada 2019-20, akhirnya diberikan jersi ikonik Blaugrana nombor 10 yang sebelum ini milik Lionel Messi.
Bagaimanapun, dia bergelut dengan kecederaan pada tahun-tahun berikutnya bermula daripada La Liga musim 2020-21 hingga akhir 2022-23.
Fati menyertai Brighton secara pinjaman musim lalu, tetapi dia hanya memulakan tiga perlawanan liga untuk kelab itu, dengan jumlah keseluruhan 514 minit dalam 19 penampilan dan menjaringkan dua gol.
Dia disisihkan daripada menyertai skuad ke Amerika Syarikat untuk jelajah pramusim Barca, yang menampilkan perlawanan menentang Manchester City, Real Madrid dan Milan.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada hari Rabu, kelab itu berkata: "Dalam sesi latihan Selasa, pemain pasukan utama Ansu Fati mengalami kecederaan pada bahagian kaki.
"Dia akan menjalani rawatan konservatif di Barcelona dan hanya akan kembali menyertai latihan selepas ditentukan oleh perkembangan ketika waktu pemulihannya."
Fati juga telah menyatakan hasrat untuk kekal bersama Barca, di mana dia mempunyai kontrak sehingga tahun 2027, walaupun baru-baru ini dia telah dikaitkan dengan perpindahan ke Fenerbahce kendalian Jose Mourinho.
#Barcelona #La Liga #Ansu Fati
;