Penyerang Chelsea, Pierre-Emerick Aubameyang, mengkritik bekas pengurusnya di Arsenal, Mikel Arteta, atas layanan tidak adil yang diterimanya sebelum meninggalkan London Januari lalu.

Aubameyang dilucutkan jawatan sebagai ketua pasukan The Gunners selepas didakwa mempunyai masalah disiplin. Sepanjang tempoh dibekukan daripada skuad utama, penyerang Gabon itu diarah berlatih bersama skuad simpanan sebelum dilepaskan secara percuma ke Barcelona.

Begitupun, Aubameyang yang kembali ke London dengan menyarung jersi Chelsea, Ogos lalu, mencetuskan kontroversi ketika terbabit dalam satu temu bual di Paris menerusi siaran Youtube dengan mengambil kesempatan membidas pengurus berbangsa Sepanyol itu.

"Dia tidak mampu menangani pemain berkarakter besar dan pemain nama besar.

"Dia memerlukan beberapa pemain muda yang tidak berkata apa-apa.




"Mereka mematuhinya," kata Aubameyang.

Bagaimanapun, ia senario berbeza dengan karier singkatnya di Barcelona malah menganggap Sepanyol telah mengubah kehidupannya.

"Seluruh pasukan Barcelona adalah sangat bagus, ramai pemain muda dan mereka menuruti arahan," katanya lagi.