Astro Kem Badminton: Peserta manfaat peluang timba pelbagai ilmu

Shaiful Shamsudin
September 19, 2024 20:42 MYT
Banyak manfaat yang mampu dikutip oleh semua peserta Astro Kem Badminton 2024 yang diadakan bagi mengasah bakat sedari awal usia.
Daripada asas permainan yang betul hinggalah kepelbagaian kemahiran yang mampu digilap dalam diri semua peserta.
Justeru, tidak hairanlah sebahagian peserta yang menyertai kem kali ini adalah peserta berulang yang tidak mahu melepaskan peluang untuk menimba ilmu kemahiran badminton sebanyak mungkin daripada jurulatih kebangsaan bertaraf olimpian!
Bagi Nur Khalishah Abdul Razak, ini adalah peluang yang sangat dinantikanya dan hanya yang bernasib baik mampu menyertai kem yang hebat sebegini.
"Saya dapat meningkatkan stamina dan memperbetulkan pukulan saya. Ini kali kedua saya menyertai Astro Kem Badminton," katanya kepada wartawan Astro Arena, Raja Hisyam.
Tidak kurang juga peserta cilik yang menyertai kem ini bertukar pandangan antara satu sama lain selain tentang teknik-teknik baru yang diajarkan oleh jurulatih.
Malah, mereka tidak ragu-ragu untuk meletakkan impian untuk muncul selaku pemain badminton hebat satu hari nanti selepas mendapatkan kemahiran yang betul menerusi kem lima hari ini.
"Selepas ini, apabila berlatih dengan bapa saya, saya mahu berlatih bersungguh-sungguh. Saya mahu bermain dalam final Kejohanan MSSM (Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia), saya mahu menjadi pemain nombor satu dunia, saya mahu ke Sukan Olimpik dan memenangi pingat emas," kata seorang lagi peserta, Dhia Ramadhani Mohd Shakirin.
#badminton #Astro #Astro Kem Badminton
;