Aston Villa di belakang tujuh kelab besar
Shaiful Shamsudin
October 24, 2023 10:58 MYT
October 24, 2023 10:58 MYT
ASTON VILLA 4 WEST HAM 1
Pengurus Aston Villa, Unai Emery, memperkecilkan potensi mereka sebagai antara calon untuk meraih tiket kelayakan Liga Juara-Juara (UCL) sekalipun membelasah West Ham.
Villa hanya ketinggalan dua mata di belakang juara bertahan Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester City, dan Arsenal selepas kemenangan 4-1 kelmarin lalu.
Penyudah berganda Douglas Luiz dan sentuhan klinikal daripada Ollie Watkins dan Leon Bailey menamatkan amukan Villa untuk kemenangan pertama mereka ke atas West Ham sejak 2015.
Mereka kembali ke kedudukan kelima, hanya satu mata dipisahkan dengan kelompok empat teratas dengan perlawanan menentang Luton, Nottingham Forest dan Fulham akan menyusul.
“Ada tujuh pasukan yang bersaing sengit. Kami sedang menghambat tujuh kelab; Man City, Man United, Liverpool, Tottenham, Arsenal, Chelsea dan Newcastle,” kata Emery dengan tempat kelima berpotensi menawarkan tempat tiket UCL.
“Adalah menjadi impian saya untuk memenangi UCL tetapi ketika ini kami berada di posisi kelima dan kami akan menghadapi setiap perlawanan dengan mempamerkan persembahan yang baik.
“Saingan ini membabitkan 38 perlawanan dan kami tewas di Newcastle, kami tewas di Liverpool. Ia adalah prestasi yang tidak ingin kami ulangi.
“Saya lebih suka bercakap tentang perlawanan yang kami menangi tetapi saya juga perlulah bercakap tentang kekalahan. Ini adalah bakinya. Kami harus terus bersemangat.
“West Ham hanya ketinggalan dua mata di belakang kami dan mereka juga berada di tahap seperti kami.
"Kami menghadapi cabaran hebat sejak sepak mula. Akhirnya kami menang 4-1.”