Mikel Arteta tidak menyangka Eddie Nketiah mampu beraksi di tahap memukau buat Arsenal pada musim ini sambil melabelnya sebagai seorang pemain yang memiliki "hati dan semangat Arsenal yang sejati".

Nketiah kini muncul selaku penjaring terbanyak The Gunners musim ini dengan sembilan gol termasuk dua jaringan ketika menundukkan Manchester United 3-2, awal pagi tadi.

Dia mencetak empat gol Liga Perdana Inggeris (EPL) meskipun sekadar diturunkan lima kali dalam kesebelasan utama -- dengan purata satu gol dalam setiap 147 minit -- berikutan memulakan musim ini sebagai sandaran kepada Gabriel Jesus yang kini masih dalam rawatan berikutan kecederaan dalam Piala Dunia di Qatar, bulan lalu.

Arteta menaruh kepercayaan ke atas Nketiah untuk meningkatkan prestasinya malah mengiktiraf standard luar biasa yang dimainkan oleh penyerang itu.

"Apa yang Eddie lakukan adalah luar biasa," katanya selepas perlawanan di Stadium Emirates itu.



“Kami tidak meramalkan kebangkitannya -– kami memang berharap dia dapat melakukannya kerana dengan pendekatannya, mentalitinya dan kualitinya untuk dipadankan dalam pasukan.

"Kehilangan Gabby merupakan satu tamparan hebat dan hari ini kekal begitu.

"Tetapi Eddie bertindak balas dengan cara yang luar biasa, begitu juga pasukan."

Ditanya mengenai apa yang dilihatnya dalam diri Nketiah, Arteta menjawab: "Dia ada kualiti, dia perlu tonjolkan sejauh mana dia menginginkannya, sejauh mana kepercayaannya terhadap dirinya untuk menjadi pemain nombor sembilan Arsenal berdasarkan kemahuan dan latar belakangnya.

"Kami bersamanya setiap hari. Dia seorang pemain muda yang istimewa, cukup disenangi oleh semua orang di kelab ini.

"Dia mempunyai hati dan semangat Arsenal yang sebenar dalam dirinya, ia sesuatu yang istimewa. Anda tidak mampu menyatakannya dalam bentuk angka tetapi dia benar-benar hebat."