ARRC: Helmi Azman ungguli 600cc, Azlan Shah sambar podium di Litar Sepang

Saufi Tahir
September 14, 2024 18:57 MYT
Lima pelumba negara berjaya melakar podium dalam lima kategori yang disertai dalam saingan pusingan kelima Pusingan 1 Perlumbaan Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) 2024, di Litar Antarabangsa Sepang, hari ini.
Lagu Negaraku berkumandang dalam kategori SS600 sekali gus menggamatkan Litar Antarabangsa Sepang dengan menyaksikan kejayaan pelumba Idemitsu Boon Siew Honda Racing Team, Helmi Azman, menamatkan perlumbaan pertama di podium tertinggi pusingan kelima ARRC 2024, hari ini.
"Tamatkan perlumbaan di laman sendiri dengan kehadiran penyokong memang saya berasa sebak tetapi tetap bangga untuk membawa bendera Malaysia. Terima kasih kepada semua penyokong dan penaja." kata Helmi Azman.
Walaupun layak menerusi tiket wildcard tidak menghalang Shahrol Syazras Shahrol Yuzy untuk mencipta sensasi apabila mengejutkan beberapa pelumba pilihan kejuaraan dalam kategori UB150, termasuk pendahulu Md Akid Aziz dengan kejayaan meraih podium biarpun masih berdepan kecederaan.
"Pertama kali saya bersyukur hari ini, walaupun semalam saya hampir berputus asa dengan dua kemalangan. Malah ada kecederaan pada tangan saya. Saya sudah fikir saya tiada harapan hari ini tetapi saya ambil perkara itu sebagai motivasi. Selepas hujan akan ada pelangi.
"Perlumbaan tadi sangat sengit, saya ingat pesanan ayah saya agar fokus dan menikmati perlumbaan," kata Shahrol Syazras Shahrol Yuzy.
Sementara, pelumba negara kategori Asia One Make Championship, Mohd Ramdan Rosli, menyifatkan punca kegagalan mendapat podium pertama disebabkan terdapat masalah untuk menemui kelajuan maksimum pada jenteranya.
"Jika ikut kedudukan saya berada di tempat kedua, saya mahu rebut kejuaraan tahun ini walaupun mata agak rendah. Saya tetap yakin peluang masih ada, takkan berputus asa. Jadi tiada yang mustahil dalam satu lagi pusingan untuk beri saingan kepada pelumba lain," kata Mohd Ramdan Rosli.
Dalam pada itu, kategori Asia Production pula menyaksikan Muhammad Syarifuddin Azman atau lebih dikenali dengan julukan 'Damok' menepati janji apabila berjaya menduduki podium ketiga, biarpun masih bergelut dengan demam Influenza hingga menyebabkan dia banyak berehat sebelum ini.
"Dalam perlumbaan tadi, pelumba lain tidak berikan sepenuhnya kerana mereka tahu hanya ada lima pelumba. Lap terakhir mereka cuba beri saingan tetapi tetap berhati-hati dan ketika itu saya ambil peluang untuk podium.
"Saya ada sedikit masalah dengan jentera saya dan bersyukur dapat raih podidum," kata Damok.
Pelumba JDT Racing Team, Hafizh Syahrin, pula hanya mampu menamatkan saingan pada kedudukan kelima kategori ASB1000, di hadapan penyokong setia Boys Of Straits yang memberi sorakan padu kepadanya sepanjang perlumbaan berlangsung.
Bagaimanapun, seorang lagi wakil negara Azlan Shah Kamaruzaman meraih tempat kedua ASB1000, sekaligus melengkapkan petang gemilang buat Malaysia dengan melakar podium dalam setiap kategori di laman sendiri.
"Rezeki yang tidak disangka kerana saya bermula di P8, cuba memang perancangan untuk mengikuti kelompok hadapan dan pada saat akhir saya dapat mengawal tungaggan saya dan dapat podium." kata Azlan Shah Kamaruzaman.
#ARRC #Azlan Shah Kamaruzaman #Azman #Helmi #Kejuaraan Motosikal Asia 2024