Angelici: Tiada tawaran daripada Arsenal untuk Pavon

Penulis Jemputan
January 10, 2018 08:56 MYT
Boca Juniors menafikan telah menerima tawaran daripada Arsenal terhadap penyerang muda, Christian Pavon.
Skuad Gunners dilaporkan bersedia mendapatkan penyerang berusia 21 tahun itu dengan mengaktifkan klausa perpindahan yang bernilai EUR37 juta (RM177 juta).
Bagaimanapun, Presiden Boca Juniors, Daniel Angelici, menjelaskan tiada sebarang bidaan atau percubaan untuk mendapatkan pemain skuad Argentina itu.
"Pada masa ini, kami tidak menerima sebarang kertas cadangan dan tawaran. Segala-galanya sekadar khabar angin seperti biasa.
"Saya sedar apa yang diperkatakan kepada Pavon ketika memperbaharui kontraknya. Saya tidak akan menyekat perkembangan kariernya tetapi kami menyediakan kontrak yang membuatkannya selesa.
"Klausa perpindahan diletakkan sekiranya perkara seperti ini berlaku. Segala-galanya terserah kepada pihak pemain," kata Angelici.
Kehadiran semula penyerang veteran, Carlos Tevez, ke Boca Juniors menyaksikan Arsenal berpeluang cerah untuk mendapatkan Pavon, sekaligus menjadi pengganti buat Alexis Sanchez yang dilaporkan bakal berhijrah ke Manchester City, bulan ini.
Pavon menjaringkan sembilan gol hasil daripada 30 penampilan buat Boca pada musim lalu dan kini telah mencatat tiga jaringan daripada 12 perlawanan.
#Arsenal #Boca Juniors #Argentina #Christian Pavon #Daniel Angelici
;