Ange Postecoglou puji Son Heung-min atasi keletihan sebelum pastikan kemenangan Spurs
Ammar Hakim
March 31, 2024 08:47 MYT
March 31, 2024 08:47 MYT
Ange Postecoglou memuji standard tinggi kapten Tottenham yang dalam 'kepenatan', Son Heung-min, selepas gol lewatnya memperoleh kemenangan 2-1 di tempat sendiri ke atas Luton.
Spurs mampu mengembalikan harapan untuk layak ke saingan Liga Juara-Juara kembali ke landasan betul dengan kemenangan ke atas Luton selepas pasukan pelawat mendahului minit ketiga menerusi Tahith Chong.
Kapten Tottenham, Heung-min menggegar palang dua kali dalam separuh masa pertama sebelum Brennan Johnson menyamakan kedudukan apabila hantaran lintangnya memaksa pemain pertahanan Hatters, Issa Kabore melakukan jaringan sendiri.
Ketika perlawanan berbaki empat minit, Timo Werner bijak melakukan umpanan buat Heung-min untuk menjaringkan gol kemenangan membolehkan tuan rumah mengutip tiga mata penting.
Ia merupakan gol ke-15 Son musim ini, kini bergelar pemain kelima dalam senarai penjaring sepanjang masa Tottenham dengan 160 gol, beberapa hari selepas dia beraksi bersam Republik Korea bagi aksi Kelayakan Piala Dunia bertemu Thailand.
Postecoglou berkata, “Saya pasti dia berasa letih. Ya, betul-betul. Ia sukar. Semasa saya menjadi jurulatih pasukan kebangsaan Australia, kami mempunyai beberapa pemain yang bermain di benua itu.
"Perjalanan mereka jauh, melewati perlawanan berintensiti tinggi namun Heung-min tetap menghadirkan permainan yang cemerlang dalam setiap perlawanan.
“Bermain untuk pasukan kebangsaannya adalah sangat penting baginya. Bermain untuk kelab bola sepak ini sangat penting baginya dan dia tidak akan berkompromi sama ada dengan membiarkan standardnya jatuh."