Andrea Pirlo dilantik ketua jurulatih kelab Turki, Fatih Karagumruk

Muzaffar Musa
June 13, 2022 09:08 MYT
Andrea Pirlo dilantik sebagai ketua jurulatih kelab Turki, Fatih Karagumruk.
Pirlo mula menceburi bidang kejurulatihan selepas menamatkan karier gemilangnya selaku pemain sewaktu bersama AC Milan dan Juventus, di mana dia turut menjulang Piala Dunia bersama Itali pada 2006.
Pengendali berusia 43 tahun itu bermula dengan menguruskan skuad B-23 Juve sebelum dilantik sebagai ketua jurulatih skuad utama pasukan itu.
Bagaimanapun, legenda Azzurri itu kurang berjaya sepanjang tempoh berkenaan, di mana Juve menamatkan saingan Serie A di tangga keempat dan gagal memenangi Scudetto buat kali ke-10 berturut-turut.
Kedudukannya di Juve kemudian digantikan oleh Massimiliano Allegri tahun lalu dan sejak itu, dia tidak melatih sebarang pasukan sehingga pengumuman terbaru malam tadi.

?Andrea Pirlo Karagümrük’te pic.twitter.com/p0etFDnxap

— VavaCars Fatih Karagümrük SK (@karagumruk_sk) June 12, 2022
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Karagumruk mengumumkan pelantikan Pirlo dalam satu kenyataan ringkas dengan berkata: "Pemain bola sepak terkenal itu sebelum ini melatih Juventus, antara kelab terbesar di Eropah.
"Dengan turut mempunyai pengalaman dalam Liga Juara-Juara Eropah bersama Juventus, Pirlo kini menandatangani kontrak yang menjadikannya sebagai ahli Karagumruk untuk setahun bermula 1 Julai ini.
"Sidang media Pirlo akan diadakan pada Selasa, 14 Jun dan tempatnya akan diumumkan kelab ini kemudian. Kami mengalu-alukan kedatangan jurulatih kami ini dan mengucapkan selamat berjaya buatnya."
Pirlo berdepan cabaran besar untuk meningkatkan Karagumruk musim depan selepas kelab itu menamatkan kempen Super Lig 2021-22 di tangga kelapan.
#bola sepak #Andrea Pirlo #Fatih Karagumruk Istanbul
;