ESPANYOL 2 REAL MADRID 1

Carlo Ancelotti menggambarkan kekalahan 1-2 kepada Espanyol sebagai aksi terburuk Real Madrid sejak dia kembali melatih kelab itu.

Minggu buruk Los Blancos bertambah perit apabila mereka gagal mengembalikan kelebihan tiga mata di puncak LaLiga selepas tewas di Stadium RCDE awal pagi tadi.

Selepas tewas 1-2 kepada wakil Moldova, Sheriff, dalam perlawanan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) pertengahan minggu lalu, Madrid sekali lagi tewas dengan keputusan sama gara-gara sentuhan pemusnah Raul de Tomas dan Aleix Vidal.

Karim Benzema kemudian merapatkan jurang itu tetapi Ancelotti tidak dapat mengelak daripada menyaksikan pasukannya keciciran mata sebelum waktu rehat antarabangsa.

Ketua jurulatih berbangsa Itali itu berkata: "Ia aksi terburuk kami (musim ini). Kami bermain dengan buruk, tidak banyak untuk diperkatakan. Kami perlu mengubah sikap kami minggu ini.

"Kekalahan ini bukan satu kemalangan kerana kami memang patut kalah. Kami gusar dengan dua kekalahan berturut-turut di kelab ini dan kami sememangnya perlu memulihkannya, memperbetulkan segala kesilapan," katanya.

Ancelotti menambah pasukannya perlu menilai setiap kekurangan mereka sepanjang waktu rehat antarabangsa bulan ini.

"Kami bermula dengan satu idea dan ia berubah sebaik dibolosi gol pertama. Kami tidak dapat kekal bertenang. Idea dan pasukan kami tidak diposisikan dengan baik, sama ada dengan bola atau tanpa bola.

"Pendekatannya agak jelas, saya tidak akan mendedahkannya ketika ini. Pasukan kami menjadi amat kelam-kabut ketika memiliki bola atau tanpa bola.

"Kami perlu memperbaikinya, saya sudah berbicang dengan pemain dan mereka bersetuju.

"Kini sudah sampai waktu rehat. Adakala adalah lebih baik untuk terus bermain secepat mungkin tetapi anda perlu menggunakan waktu rehat ini untuk penilaian," katanya.