Anak Beckham dipinjamkan ke pasukan simpanan Brentford

Shaiful Shamsudin
January 7, 2023 03:40 MYT
Kerjaya bermain David Beckham mungkin sudah lama berakhir tetapi sebuah kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) akan meneruskan legasi Beckham dalam barisan mereka musim ini selepas anak lelaki bekas kapten England itu, Romeo, menyertai Brentford.
Beckham membuat 20 penampilan untuk Inter Miami II -- kelab simpanan francais Liga Bolasepak Utama (MLS) milik bapanya –- dalam kancah liga MLS Next Pro musim lalu.
Pemain berusia 20 tahun itu pernah berlatih di akademi Arsenal sebelum dilepaskan pada 2015 dan dia kemudian menyertai Inter Miami II pada 2021 ketika pasukan berkenaan dikenali sebagai Fort Lauderdale CF.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan awal pagi tadi, Brentford mendedahkan pemain sayap itu akan menyertai pasukan B mereka hingga akhir musim.

✍️ Welcome to #BrentfordB, Romeo Beckham! The 20-year-old joins on loan from Inter Miami until the end of the 2022/23 season#BrentfordFC pic.twitter.com/KPAmWsvCOk

— Brentford FC (@BrentfordFC) January 6, 2023
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
"Brentford berbesar hati untuk mengumumkan kehadiran Romeo Beckham daripada Inter Miami CF secara pinjaman hingga akhir musim 2022-23," kata kelab itu.
"Pemain berusia 20 tahun ini akan menyertai pasukan B kendalian Neil MacFarlane untuk baki kempen bagi meneruskan perkembangannya tatkala dia membuat penghijrahan sementara daripada kelab MLS. Perpindahan ini tertakluk kepada kelulusan antarabangsa."
#David Beckham #Brentford #EPL #Romeo Beckham