Al-Hilal hilang sabar dengan Neymar, sasar bawa masuk Cristiano Ronaldo

Muzaffar Musa
November 7, 2024 12:07 MYT
Al-Hilal kelihatan sudah hilang sabar dengan Neymar
Pasukan Arab Saudi itu melaburkan wang yang besar untuk menandatangani bintang Brazil itu dari Paris Saint-Germain (PSG) 18 bulan lalu tetapi segalanya tidak menjadi seperti yang diharapkan.
Walaupun menjadi antara pemain berprofil tinggi dalam Liga Pro Saudi, penampilan Neymar boleh dikira dengan jari.
Dia mengalami kecederan koyak ACL hanya dua minggu selepas ketibaannya di Arab Saudi dan terlepas 50 perlawanan buat kelab itu.
Walaupun dia tampil ketika membantu Al-Hilal menewaskan Esteghlal 3-0 dalam Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) kelmarin, dia terpaksa dikeluarkan gara-gara kecederaan kaki.
Perkembangan terbaru mendapati Neymar berkemungkinan perlu berehat selama empat ke enam minggu dan tidak dapat beraksi sehingga pertengahan bulan depan.
Kecederaan terbaru itu menyaksikan masa depannya di Al-Hilal kian samar.
Menurut laporan Fichjaes, Al-Hilal kini terbuka untuk melepaskan pemain Amerika Selatan itu dan menyasarkan untuk menggantikannya dengan penyerang Al-Nassr, Cristiano Ronaldo.
#bola sepak #Neymar #Cristiano Ronaldo #Al-Hilal
;