Aksi Perak-JDT: FAM rehatkan dua pengadil bertugas
Ammar Hakim
November 15, 2024 10:10 MYT
November 15, 2024 10:10 MYT
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) membuat keputusan untuk merehatkan pengadil dan pengadil Video Bantuan Pengadil (VAR) yang bertugas pada aksi Liga Super Perak FC menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim, Ahad lalu.
Timbalan Presiden FAM, Datuk S Sivasundaram berkata, kedua-dua pengadil itu gagal membuat keputusan yang tepat berhubung insiden situasi penalti pada minit ke-38 dan pergelutan pada minit ke-84 yang melibatkan pemain JDT, Arif Aiman Hanapi dan pemain Perak FC, Tommy Mawat Bada.
Beliau yang juga pengerusi jawatankuasa pengadil FAM berkata, keputusan merehatkan pengadil tersebut dibuat selepas analisa oleh Jawatankuasa Penilaian Prestasi Pengadil.
"Analisa kedua-dua insiden tersebut dibuat berpandukan Undang-undang Permainan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan mendapati keputusan pengadil perlawanan dan Pengadil VAR adalah kurang tepat.
"Sehubungan itu, Jawatankuasa Pengadil FAM telah mengambil keputusan untuk merehatkan pengadil dan pengadil VAR terbabit sebanyak dua perlawanan daripada sebarang tugas pengadil di Liga Profesional dan Liga Amatur.
"Selain direhatkan untuk dua perlawanan, kedua-dua pengadil tersebut juga akan dirujuk ke fasa pemulihan dan pemurnian sebelum diberikan tugas pengadil," katanya.
Menurutnya, FAM memandang berat tentang isu prestasi pengadil-pengadil termasuk pengadil VAR dan tidak akan berkompromi dalam hal yang berkaitan dengan persembahan kualiti pengadil.
Mengulas tentang jenis hukuman, beliau menjelaskan bahawa FAM mengambil pendekatan jenis hukuman yang berprinsipkan ‘pendidikan’ agar pengadil-pengadil yang menunjukkan prestasi lemah bukan sahaja dihukum, malah pada masa yang sama mereka akan dididik dan diberi khidmat kaunseling agar dapat kembali bertugas dengan lebih cemerlang.
"FAM juga perlu berhati-hati dengan tahap hukuman yang lebih lama dan berat kerana Liga Profesional negara menggunakan teknologi VAR, yang mana semua pegawai perlawanan yang dilantik wajib memiliki lesen VAR.
"Dalam situasi ini, hukuman berprinsip pendidikan adalah amat sesuai untuk memastikan perjalanan liga kita berjalan dengan lebih lancar. Polisi seperti ini bukanlah sesuatu yang baharu, malah ia diguna pakai di peringkat FIFA, AFC dan kebanyakan liga-liga yang ternama di dunia," jelas beliau.-Sinar