PARIS SAINT-GERMAIN 3 OLYMPIQUE MARSEILLE 0

Biarpun turun tanpa kelibat pemain termahal dunia, Neymar, Paris Saint-Germain (PSG) tetap unggul apabila mengatasi Olympique Marseille 3-0 dalam aksi suku akhir Piala Perancis di Parc Des Princess, awal pagi tadi.


Beraksi di laman sendiri, Yuri Berchiche hampir menceriakan penonton tuan rumah seawal minit ketujuh menerusi rembatan kaki kiri, namun ditepis keluar oleh Steve Mandanda.

PSG yang menewaskan lawan sama dalam saingan liga sebelum ini terus melakukan asakan tetapi ketangkasan Mandanda membuatkan Angel Di Maria kempunan untuk membuka tirai jaringan pada minit ke-36.

Bagaimanapun, usaha kali kedua Di Maria berhasil di penghujung babak pertama apabila bekas pemain sayap Manchester United itu melepaskan sepakan separa voli dengan kaki kanannya untuk menjadikan 1-0.

Dua minit separuh masa kedua bermula, Di Maria terus mempamerkan kecemerlangannya dengan jaringan kedua.

Kesilapan Aymen Abdennour mengeluarkan bola hantaran lintang Yuri dari kawasan bahaya pantas digunakan oleh Di Maria untuk menjadikan kedudukan 2-0.

Dia hampir mencatat hatrik dua minit kemudian tetapi Mandanda lebih tangkas kali ini untuk menolak bola keluar.

Pemain gantian, Javier Pastore, turut berpeluang untuk meletakkan nama dalam senarai penjaring pada minit ke-64 tetapi reaksi pantas Mandanda menafikan tandukannya hasil hantaran lintang Di Maria dari sebelah kanan.

Penyerang utama, Edinson Cavani, melengkapkan malam indah buat anak buah Unai Emery itu menerusi rembatan jarak dekat untuk membuatkan Mandanda tewas buat kali ketiga.

Kedudukan 3-0 kekal, sekali gus membolehkan PSG menempah tiket separuh akhir Piala Perancis musim ini.