Ketua Pegawai Operasi Liga Bolasepak Amatur (AFL), Raimi Fikri, menegaskan Melaka United dan Sarawak United perlu menghantar permohonan seandainya mahu beraksi dalam saingan Liga M3 musim depan.

AFL kemudian perlu menilai setiap aspek terlebih dahulu, termasuk struktur kewangan pasukan berkenaan sebelum memuktamadkan sebarang keputusan.

"Buat masa ini, kami juga sedang menjalankan proses pengesahan bagi pasukan-pasukan Liga M3," katanya kepada wartawan Nadi Arena, Fadhirul Shuhaimi.

"Maknanya, 14 pasukan daripada 20 pasukan Liga M3 musim 2022 sedang berada dalam proses pengesahan, jadi fokus kami sudah pasti kepada pasukan sedia ada.

"Selagi kami tidak menerima permohonan daripada Sarawak United dan Melaka United, ahli lembaga pengarah kami tidak dapat buat apa-apa keputusan.

"Seandainya kami menerima permohonan daripada dua pasukan itu, barulah kami akan membawanya ke dalam mesyuarat.

"Jika tiada, ia bermakna ia tidak perlu dibawa ke dalam mesyuarat dan tiada keputusan diperlukan daripada pihal AFL," katanya.

Difahamkan, sebanyak 14 pasukan telah mengesahkan penyertaan bagi saingan Liga M3 musim depan dan ia dijangka bermula pada Februari 2023.

Terdahulu, Sarawak United dan Melaka United disahkan tidak layak untuk beraksi dalam Liga Super 2023 selepas rayuan permohonan lesen kebangsaan yang dikemukakan mereka ditolak oleh Jawatankuasa Rayuan Pelesenan Kelab (AB) Liga Bolasepak Malaysia (MFL) semalam.