ACLE: Pengadil, pemain lawan kerap hentikan permainan jejas rentak JDT -- Natxo Insa

Muzaffar Musa
October 23, 2024 10:35 MYT
Pemain tengah Johor Darul Ta'zim (JDT), Natxo Insa, berasakan pengadil dan pemain lawan terlalu kerap menghentikan perlawanan sehingga mengganggu rentak pasukannya ketika tewas 1-3 kepada Gwangju dalam perlawanan ketiga Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) di Yongin malam tadi.
Harimau Selatan dibolosi dua gol Jasir Asani seawal 10 minit pertama sebelum merapatkan jurang hasil jaringan Feroz Baharudin pada minit ke-28.
Biarpun menguasai sebahagian besar babak kedua, wakil negara itu gagal memecahkan kebuntuan sebelum Park Jun-heong terjaring gol ke gawang sendiri pada minit ke-88.
Insa berasakan keadaan pengadil yang kerap menghentikan perlawanan tanpa melayangkan kad kuning menjadi antara punca JDT hilang momentum untuk merencana kebangkitan.
"Kami tidak bermula baik dalam 10 minit pertama dengan cara kami dibolosi dua gol," katanya selepas perlawanan itu.
"Selepas itu, kami mencipta lebih banyak peluang berbanding mereka, terutama dalam babak kedua.
"Sebagai manusia, saya boleh buat silap, pemain boleh buat silap, pengadil juga boleh buat silap.
"Ada batasnya apabila anda rasa setiap kesalahan pada setiap masa mereka menghentikan permainan dan tiada kad kuning.
"Ini bukan alasan tetapi dalam babak kedua mereka tidak bermain dan itu bukanlah cara profesional seperti yang kita lihat dalam babak kedua.
"Dalam babak kedua, pasukan lawan terlalu kerap menghentikan permainan. Kami cuba bermain secara menyerang dan pada penghujungnya, kami tidak bernasib baik," katanya.
#bola sepak #JDT #Natxo Insa #Liga Juara-Juara Asia #Johor Darul Ta'zim FC #ACLE
;