ACLE: Beraksi tanpa Ronaldo, Al-Nassr terima kekalahan pertama
Muzaffar Musa
December 3, 2024 10:27 MYT
December 3, 2024 10:27 MYT
AL-NASSR 1 AL SADD 2
Cristiano Ronaldo sekadar duduk di bangku penonton ketika pasukannya, Al-Nassr, mengalami kekalahan pertama dalam saingan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) apabila tewas 1-2 kepada kelab Qatar, Al Sadd, di Al-Awwal Park awal pagi tadi.
Bintang Portugis berusia 39 tahun itu dilaporkan diberikan waktu rehat istimewa memandangkan kelab Arab Saudi berkenaan sudah pun mengesahkan kemaraan ke pusingan 16.
Ronaldo, yang menjaringkan 15 gol daripada 18 penampilan musim ini, dilihat berada di bangku penonton bersama ibunya, Dolores Aveiro, dan pasangannya, Georgina Rodriguez.
Al Sadd berada di depan pada lapan minit pertama babak kedua menerusi jaringan bintang skuad kebangsaan Qatar, Akram Afif, yang melakukan larian pantas mengatasi pertahanan, Mohamed Al Fatil, sebelum melepaskan penyudah rendah menewaskan penjaga gol, Bento.
Al-Nassr kemudian menyamakan kedudukan pada minit ke-80 selepas lintangan rendah Wesley mengakibatkan Romain Saiss terjaring ke gawang sendiri.
Bagaimanapun, Afif kemudian dijatuhkan dalam kawasan penalti pada waktu kecederaan untuk pemain gantian, Adam Ounas, menyempurnakan kesempatan itu untuk menjaringkan gol kemenangan Al Sadd.