ACC Shopee Cup: Terengganu terlepas peluang raih kemenangan pertama

Ammar Hakim
September 25, 2024 22:11 MYT
Terengganu melepaskan kelebihan dua jaringan ketika sekadar seri 2-2 dalam aksi Piala Shopee ACC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, sebentar tadi.
Terengganu yang memasang misi melakar kemenangan pertama berjaya membuka langkah kanan apabila mendahului dua gol dalam separuh masa pertama.
Gol pertama perlawanan cukup menarik berjaya terhasil daripada Akhyar, yang menerima bola menerusi tandukan Safawi Rasid sebelum pemain pinjaman Johor Darul Ta'zim (JDT) melepaskan rembatan dari luar kotak penalti memecah kebuntuan.
Menguasai rentak permainan, Terengganu menggandakan kelebihan pada minit ke-40, kali ini giliran Manuel Ott yang menampan masuk hantaran rakan sepasukan, Azam Azmi Murad.
Dalam masa kecederaan, pelawat berjaya mengurangkan defisit jaringan menerusi Luiz Antonio, sepakan percuma yang diambil mengelirukan benteng akhir sebelum menembusi gawang Terengganu.
Bersambung dalam babak kedua perlawanan, corak permainan kelihatan menyaksikan pelawat lebih mendominasi daripada sudut melancarkan serangan, dan ia membuahkan hasil buat mereka mendapatkan gol penyamaan.
Kegagalan memintas hantaran jauh serta gol sendiri Ubaidullah Shamsul pada minit ke-51 kembali menyaksikan perlawanan kembali seimbang.
Kedudukan kekal sehingga penamat perlawanan dan harapan buat Terengganu untuk memperoleh kemenangan pertama tidak berhasil.
#bola sepak #Terengganu #ACC Shopee Cup