AC Milan tidak gopoh cari penyerang
Penulis Jemputan
August 3, 2017 08:57 MYT
August 3, 2017 08:57 MYT
Pengendali AC Milan, Vincenzo Montella, menyifatkan tiada tempoh akhir buat pasukannya mendapatkan penyerang baru bagi menyempurnakan skuad yang dibina.
Milan sebelum ini telah mendapatkan khidmat 10 pemain, termasuk penyerang Portugal, Andre Silva, serta pertahanan dari Juventus, Leonardo Bonucci, diikuti dengan kontrak baru yang dipersetujui oleh penjaga gol muda, Gianluigi Donnarumma.
Bagaimanapun, Montella tidak mahu terburu-buru mendapatkan seorang lagi penyerang baru walaupun dikaitkan dengan pemain Borussia Dortmund, Pierre-Emerick Aubameyang, Diego Costa (Chelsea) serta Andrea Belotti (Torino).
“Kami berehat sementara setelah melalui musim perpindahan yang amat sibuk,” kata Montella.
“Tidak perlu terburu-buru kerana tiada tempoh akhir.
“Silva menampilkan prestasi bagus setakat ini dan sedar bahawa dia perlu cepat membiasakan diri,” tambahnya.
Sementara itu, Montella mengesahkan Donnarumma hanya akan melakukan penampilan pertamanya musim ini dalam aksi kedua pusingan ketiga kelayakan Piala Europa menentang CSU Craiova selepas menghadapi kontroversi mengenai masa depannya bersama Rossoneri, sebelum ini.
“Gigio menunjukkan kematangan ketika musim panas tatkala dia sentiasa menjadi tumpuan ramai.
“Dia telah membuktikan rasa cintanya terhadap kelab dan pastinya amat memerlukan sokongan peminat,” ujarnya.