'13 tahun bergelar pemain profesional belum pernah berdepan situasi ini'
October 9, 2024 21:05 MYT
Isu tunggakan gaji yang sedang dihadapi oleh Kedah Darul Aman (KDA) disifatkan sebagai masa yang sukar buat tonggak pertahanan importnya, Jose Cleylton.
Menurutnya, semua pemain Sang Kenari sentiasa membuat keputusan secara berkumpulan dan memotivasikan diri masing-masing dengan harapan agar isu berkenaan dapat diselesaikan segera.
"Sepanjang 13 tahun bergelar pemain profesional, saya belum pernah berdepan situasi seperti ini.
"Saya masih mengharapkan penyelesaian dapat dilakukan dalam tempoh terdekat.
"Semua orang tahu sudah tahu masalah yang sedang dihadapi oleh kami. Namun semua pemain masih tetap bekerja keras dan cuba melakukan apa yang sepatutnya dilakukan seperti turun berlatih," katanya yang berasal dari Brazil.
Jelas pemain berusia 31 tahun itu yang pernah beraksi di Bahrain dan Emiriyah Arab Bersatu (UAE), di sebalik isu berkenaan, pemain Sang Kenari mahu terus positif dengan turun berlatih bagi meredakan tekanan di dalam pasukan.
Menurutnya, pemain hadir ke padang bagi melupakan isu tersebut dengan berlatih bersama pasukan jurulatih dan semua pemain KDA.
"Kami perlu datang berlatih, berjoging dan melakukan sesuatu untuk melupakan tekanan dan masalah ini.
"Jika kami memilih untuk berada di rumah sepanjang masa, kita akan terus tertekan memikirkannya setiap masa," ujarnya.
Sebelum ini, media melaporkan pemain Sang Kenari dilaporkan kembali memboikot sesi latihan selepas kejayaan mengikat Sri Pahang FC 2-2 di Stadium Darul Aman pada 21 September lalu.
Mereka bertindak demikian selepas masalah kewangan tersebut masih gagal diatasi oleh pihak pengurusan pasukan.
Pada awal September lalu, pemain KDA telah memboikot sesi latihan kerana masalah gaji yang menghantui mereka sehingga menyaksikan skuad muda terpaksa diturunkan pada aksi Liga Super yang menyaksikan tewas 5-0 kepada Kuala Lumpur City pada 14 September di Cheras.
Walau bagaimanapun, mereka kembali turun padang di Stadium Darul Aman, Alor Setar sejak petang Sabtu biarpun masih dihimpit dengan masalah tunggakan gaji. - Sinar