UCL: Kecederaan Calafiori buat Arteta gusar menjelang lawan Liverpool

Muzaffar Musa
October 23, 2024 12:39 MYT
ARSENAL 1 SHAKHTAR DONETSK 0
Mikel Arteta berdepan satu lagi masalah kecederaan menjelang pertemuan blokbuster dengan Liverpool pada Isnin ini apabila Riccardo Calafiori mengalami kecederaan ketika berdepan Shakhtar Donetsk dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) awal pagi tadi.
The Gunners meraih kemenangan tipis 1-0 ke atas pasukan dari Ukraine berkenaan hasil jaringan sendiri Dmytro Riznyk selepas percubaan Gabriel Martinelli terkena tiang sebelum melantun dan terbias ke belakang badan pemain itu dan menuju ke gawang sendiri.
Arsenal sekali lagi terpaksa beraksi tanpa Bukayo Saka, yang tidak disenaraikan dalam dua perlawanan terakhir gara-gara kecederaan paha dan mereka juga tidak dapat menurunkan William Saliba awal pagi Isnin ini selepas pemain itu dilayangkan kad merah sewaktu menentang Bournemouth hujung minggu lalu.
Kemenangan kali ini juga memerlukan Arsenal membayar harga tinggi apabila Calafiori terpaksa meninggalkan padang pada minit ke-72 dan Arteta sendiri tidak pasti sama ada pertahanan itu dapat dipertaruhkan ketika menentang Liverpool atau tidak.
"Riccy, saya tidak tahu, dia rasa sesuatu dan tidak dapat meneruskan permainan jadi ia agak membimbangkan," kata Arteta kepada TNT Sports.
Semasa bercakap dalam sidang media selepas perlawanan itu, Arteta menambah: "Dia terpaksa dikeluarkan kerana dia rasa sesuatu. Saya tidak tahu sejauh mana perkara itu. Jadi, dalam erti kata lain, ia bukan berita baik.
"Saya tidak tahu, maaf. Saka belum dapat berlatih, jadi dia tidak mungkin (diturunkan)," tambahnya.
#bola sepak #Arsenal #Shakhtar Donetsk #Liga Juara-Juara Eropah #UCL #Liga Perdana Inggeris #Miker Arteta
;