Terbuka India: Laluan mudah Lee Zii Jia ke suku akhir
Fatin Ruzaiman
January 18, 2024 19:32 MYT
January 18, 2024 19:32 MYT
Perseorangan negara, Lee Zii Jia, diberikan laluan mudah ke pusingan suku akhir selepas membenam perseorangan Indonesia, Jonatan Christie straight set, 21-15 dan 21-13 dalam Kejohanan Badminton Terbuka India 2024 yang berlangsung sebentar tadi.
Permulaan yang baik buat Zii Jia pada set pertama selepas berjaya merebut mata terawal dan terus meninggalkan empat mata di hadapan Jonatan menjadikan keputusan 4-0 ketika itu.
Tidak menoleh ke belakang, Zii Jia kekal dengan momentum dan semangat terbaik mengambil peluang untuk mencetak kemenangan mudah ke atas Jonatan pada set kedua.
Walaupun perseorangan negara itu berada pada ranking ke-10 dunia berbanding Jonatan yang menghuni ranking ke-5 dunia, namun tiada masalah buat Zii Jia menewaskan jaguh Indonesia itu.
Lee Zii Jia bakal bertemu perseorangan Jepun sama ada Takuma Obayashi atau Kodai Naraoka yang bakal berentap malam ini.