Sukan SEA Kemboja: Nur Assyira pertahan pingat perak berbasikal bukit
Muzaffar Musa
May 6, 2023 17:05 MYT
May 6, 2023 17:05 MYT
Nur Assyira Zainal Abidin mempertahankan pingat perak dalam acara berbasikal bukit cross country Olympic wanita dalam Sukan SEA Kemboja di Phnom Penh hari ini.
Pelumba negara berusia 29 tahun itu menamatkan kayuhan sejauh 18.5 kilometer di Kuel Mountain berkenaan dengan catatan masa 1 jam 17 minit 09 saat untuk muncul pelumba kedua terpantas dalam saingan itu.
Kejayaan itu menyaksikan dia mempertahankan kilauan pingat yang sama dalam edisi di Vietnam tahun lalu
Pelumba Indonesia, Sayu Bella Sukma Dewi, menggondol pingat emas dengan catatan masa 1:13.48s manakala pingat gangsa milik pelumba Thailand, Yonthanan Phonkla, dengan 1:18.42s.
Dua lagi pelumba negara, Phi Kun Pan dan Natahsya Soon, masing-masing menamatkan perlumbaan ditempat kelapan dan ke-10 selepas mencatatkan 1:24:37s dan 1:26:42s.