Sudah sampai masa Azizulhasni jadi jurulatih
August 13, 2024 14:16 MYT
Sudah tiba masanya untuk jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang, mencurahkan bakti sebagai jurulatih selepas mengumumkan persaraan usai Sukan Olimpik Paris 2024 semalam.
Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpik Paris 2024, Datuk Hamidin Mohd Amin, berkata pengalaman dimiliki Azizulhasni, yang turut dikenali sebagai The Pocket Rocketman, amat bernilai kepada atlet pelapis berbasikal trek negara.
"Saya rasa mungkin dengan umurnya sekarang 36 dan Sukan Olimpik akan datang 40 tahun, sukar untuk dia bersaing dengan pelumba muda.
"Mungkin saya rasa ini masanya untuk dia menabur bakti sebagai jurulatih atau penasihat dengan pengalaman lima kalinya dalam Olimpik," katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur sejurus tiba dari Paris hari ini.
Mengulas mengenai kelompongan yang akan timbul dengan ketiadaan Azizulhasni dalam pasukan berbasikal trek, Hamidin percaya Shah Firdaus Sahrom sudah bersedia menggalas tanggungjawab besar membawa pingat kepada negara dalam edisi Los Angeles 2028.
"Saya fikir Shah Firdaus dan adiknya (Ridwan Sahrom) berupaya untuk mengisi tempat dalam Sukan Olimpik akan datang," tambahnya.
Sebelum ini, Azizulhasni memberikan bayangan bersara apabila telah berjanji kepada keluarganya bahawa Paris 2024 akan menjadi Sukan Olimpik terakhirnya selepas menjalani pembedahan jantung terbuka pada April 2022.
Dalam Sukan Olimpik Paris, dia tidak bernasib baik apabila dibatalkan penyertaan dalam pusingan pertama acara keirin akibat kesalahan melintas pacer.
Untuk rekod, Azizulhasni memenangi pingat gangsa keirin di Rio 2016 sebelum merangkul pingat perak di Tokyo 2020 selain pernah memenangi pingat emas keirin dalam Kejohanan Dunia 2017.
--Sinar Harian