Selepas 4 tahun diselubungi kontroversi, David Coote akhirnya dipecat
Husna Zainudin
December 10, 2024 14:13 MYT
December 10, 2024 14:13 MYT
Pengadil Liga Perdana Inggeris (EPL), David Cootte, secara rasmi dipecat selepas terpalit dengan isu kontroversi pada Julai 2020.
Kenyataan itu dikeluarkan oleh Professional Game Match Officials Limited (PGMOL) pada Isnin selepas hasil penyiasatan lanjut yang dijalankan Persatuan Bola Sepak Eropah (UEFA).
Pengadil berusia 42 tahun itu dikenakan tindakan tatatertib selepas tular video yang memaparkan Coote meluahkan kata-kata kesat berkenaan pasukan Liverpool dan pengendalinya, Jurgen Klopp.
Selain itu, dia turut disiasat berikutan satu video diterbitkan oleh The Sun yang memperlihatkannya sedang menyedut 'serbuk putih' ketika bertugas dalam aksi EURO 2024.
"Berdasarkan hasil siasatan menyeluruh mengenai kelakuan David Coote, perkhidmatannya bersama PGMOL telah ditamatkan serta-merta bermula hari ini (Isnin).
"Bagaimanapun, Coote masih perlukan sokongan daripada pihak kami dan kami akan tetap komited memberi sokongan mengikut keperluannya," jelas PGMOL dalam satu kenyataan.
Pengadil kelahiran England itu turut disiasat oleh Persatuan Bolasepak Inggeris (FA) selepas dituduh terlibat dalam perbincangan mengenai layangan kad kuning sebelum perlawanan yang membabitkan pemain Leeds United, Ezgjan Alioski, dalam aksi di antara Leeds dan West Bromwich pada Oktober, 2019.