Saya bersedia bertanding -- Firdaus Mohamed mengenai jawatan timbalan presiden FAM

Najmi Iman
December 26, 2024 19:20 MYT
Naib Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Mohd Firdaus Mohamed, mengumumkan bertanding sebagai calon timbalan presiden menjelang Kongres FAM bagi pemilihan jawatankuasa badan induk itu yang akan berlangsung 15 Februari depan.
Hasrat utama menawarkan dirinya merebut kerusi nombor dua FAM itu adalah kerana menyokong revolusi bola sepak negara selepas langkah penstrukturan sedang berjalan ketika ini.
Dalam masa sama, Firdaus Mohamed juga menyambut baik dan bersedia menerima cabaran daripada mana-mana kepimpinan lain sekiranya turut bertanding dalam pemilihan tersebut.
Untuk rekod, Firdaus Mohamed juga sedang memikul tugas selaku Presiden Persatuan Bolasepak Melayu Malaysia (PBMM) selama dua penggal sejak 2018 hingga kini.
"Sekiranya saya diberi mandat oleh rakan kongsi FAM, saya bersedia bertanding untuk jawatan itu.
"Saya berminat untuk menjadi sebahagian daripada revolusi bolasepak negara yang dicadangkan oleh pemilik kelab Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ).
"Pada saya, ia merupakan satu perkhabaran gembira buat semua peminat tempatan.
"Ia membuka peluang kepada mana-mana rakan kongsi FAM untuk menilai calon yang akan bertanding.
"Semua orang boleh bertanding. Tidak tertumpu kepada jawatan tertinggi sahaja dan saya meraikan perkara tersebut," katanya kepada wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi.
#bola sepak #FAM #Persatuan Bolasepak Malaysia #Mohd Firdaus Mohamed
;