Piala Asia B-23: Fergus Tierney kagum rakan sepasukan korbankan sambutan Aidilfitri demi negara

Muzaffar Musa
April 12, 2024 20:52 MYT
Penyerang skuad B-23 negara, Fergus Tierney, berasa kagum dengan kesanggupan rakan sepasukannya untuk mengorbankan sambutan Aidilfitri bersama keluarga demi menjulang nama negara dalam Piala Asia B-23 di Doha, Qatar bermula minggu depan.
Tierney percaya sambutan Syawal di perantauan tidak akan mempengaruhi persiapan pasukan itu, yang telah berada di Doha sejak 1 April lalu.
Dalam satu wawancara bersama wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam, dia berkata: "Saya rasa mereka tidak sedih kerana kami mempunyai sasaran dalam kejohanan ini.
"Jadi kami merayakannya dengan sebaik mungkin di kedutaan Malaysia di sini.
"Saya rasa semua mentaliti pemain ketika ini hanya tentang bola sepak, jadi tiada masalah.
"Kami amat fokus terhadap peranan kami," katanya.
Harimau muda diletakkan dalam Kumpulan D dan akan bertemu Uzbekistan pada Rabu depan sebelum bertemu Vietnam (Sabtu) dan Kuwait pada 23 April ini.
Dua pasukan teratas setiap kumpulan, iaitu lapan pasukan (juara dan naib juara kumpulan A, B, C dan D) akan layak ke suku akhir.
#bola sepak #Piala Asia B-23 #Fergus Tierney
;