Piala AMEC: Sukar bermain di Bukit Jalil, pujian buat Singapura -- Safuwan Baharudin
Ammar Hakim
December 20, 2024 23:23 MYT
December 20, 2024 23:23 MYT
Pertahanan Singapura, Safuwan Baharudin, memberikan pujian atas usaha pasukannya mengekang Malaysia memperoleh kemenangan dalam aksi peringkat kumpulan Piala ASEAN Mitsubishi Electric di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), sebentar tadi.
Singapura mempamerkan corak permainan yang cukup ampuh apabila mengekang deretan percubaan pasukan tuan rumah untuk mendapatkan gol serta kemenangan untuk membawa mereka ke separuh akhir.
Sebaliknya, satu mata memadai buat Singapura untuk memastikan mereka mengisi empat pasukan terbaik.
Selepas tamat perlawanan, Safuwan berkata, "Saya tidak dapat beraksi dalam kejohanan tahun lalu. Kecederaan yang dialami mengetepikan saya sementara ia merupakan perlawanan yang penuh emosi bagi saya dengan kehadiran ahli keluarga di sini.
"Sukar untuk bermain di Bukit Jalil susulan pengalaman bermain dengan pasukan seperti Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam saingan Liga Malaysia.
"Saya amat gembira kerana berjaya membuktikan saya masih lagi relevan dan kami akan berehat sebelum menghadapi perlawanan akan datang.
"Malaysia berdepan situasi sukar ketika ini, namun mereka bakal melewati fasa baru bagi masa akan datang.
"Mereka telah bermain dengan baik, menghadirkan tekanan sepanjang perlawanan, pujian harus diberikan kepada pemain Singapura kerana berjaya memastikan gawang tidak dibolosi untuk memastikan slot ke separuh akhir."