Persahabatan antarabangsa: Rekod seimbang pertemuan Malaysia lawan India

Muzaffar Musa
November 16, 2024 16:39 MYT
Menjelang aksi persahabatan antarabangsa tier 1 di antara skuad negara dan India di Hydrabad pada Isnin ini, rekod kedua-dua pasukan berkenaan dilihat seimbang dengan Malaysia memenangi perlawanan terakhir sesama mereka.
Berdasarkan tiga pertemuan terakhir skuad negara menang sekali, seri sekali dan tewas sekali kepada The Blue Tigers.
Pertemuan terakhir menyaksikan Harimau Malaya menewaskan India 4-2 dalam aksi Pestabola Merdeka di laman sendiri tahun lalu.
Terdahulu, dalam satu aksi pesahabatan antarabangsa pada 16 November 2011, skuad negara tewas tipis 2-3 dan dua hari sebelum itu, Malaysia mengikat lawan itu 1-1, juga di laman lawan.
Jika ditarik lebih ke belakang sejak pertemuan pertama kedua-dua pasukan itu, Malaysia memenangi 12 daripada 32 pertemuan dengan India, seri lapan kali dan tewas 12 kali kepada lawan berkenaan.
Kedudukan ranking terkini pula menyaksikan India menduduki tangga ke-125 dunia mamakala Malaysia pula tidak ketinggalan jauh di tangga ke-133.
Pertemuan kali ini pasti menarik perhatian dalam menguji kekuatan kedua-dua pasukan, yang masing-masing sedang dalam fasa peralihan selepas dibimbing jurulatih baru.
India ketika ini sedang dibimbing jurulatih dari Sepanyol, Manolo Marquez, begitu juga dengan Malaysia, yang ketika ini dibimbing Pau Mari Vicente
#bola sepak #India #Harimau Malaya #Persahabatan Antarabangsa #Pau Marti Vicente #rekod pertemuan
;