PERANCIS 4 SCOTLAND 1

Steve Clarke menggesa barisan pemain Scotland untuk menghentikan rentetan kekalahan selepas tewas 1-4 kepada Perancis dalam aksi persahabatan antarabangsa di Lille awal pagi tadi.

Scotland turun dalam aksi persahabatan itu selepas mengesahkan tempat dalam Euro 2024 susulan kejayaan Sepanyol menewaskan Norway hujung minggu lalu, yang memastikan kedudukan dua teratas buat mereka dalam saingan Kumpulan A pusingan kelayakan.

Scotland tewas 0-2 kepada Sepanyol minggu lalu, tidak lama selepas mereka menelan kekalahan 0-3 di tangan England di Hampden Park dalam satu aksi persahabatan bulan lalu.

Scotland terlebih dahulu mengejutkan tuan rumah menerusi gol pertama Billy Gilmour di peringkat antarabangsa pada minit ke-11.

Bagaimanapun, pertahanan Perancis, Benjamin Pavard, menanduk masuk dua jaringan sebelum ketua pasukan, Kylian Mbappe, menjaringkan gol ketiga dan pemain gantian, Kingsley Coman, melengkapkan kemenangan bergaya Les Bleus.

Selepas memenangi kesemua lima perlawanan pertama pusingan kelayakan Euro 2024, Scotland tewas tiga perlawanan berturut-turut dan Clarke mahu pasukannya kembali ke landasan kemenangan sewaktu bertemu Gerogia dan Norway dalam dua aksi terakhir pusingan kelayakan itu bulan depan.

Dia berkata: "Kami boleh mengambil memori dalam pusingan kali ini tetapi kami tewas dua kali bulan ini.

"Kami tidak suka kalah. Saya tidak mahu mereka selesa atau tidak kisah kalah.

"Kami sudah berbincang mengenainya selepas perlawanan itu. Amat penting untuk kami meletakkan standard yang lebih tinggi.

"Kami mahu menamatkannya dengan mata yang sama dengan Sepanyol, jadi sasarannya adalah untuk mendapatkan 21 mata yang akan menjadikannya sebagai satu kempen yang baik," katanya.