Perkenalkan FFP di negara ini tahun depan - TMJ

Sinar Harian
July 19, 2023 12:37 MYT
Pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, sekali lagi mencadangkan kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) untuk mengimplimentasikan peraturan 'Financial Fair Play' (FFP) di negara ini tahun depan.
Selain cadangan pengurusan kewangan yang adil itu, yang pernah disarankan beberapa tahun lalu, Tunku Mahkota Johor (TMJ) juga menyarankan supaya FAM dan MFL mengutamakan pembangunan bakat akar umbi pasukan bola sepak di negara ini.
Katanya, kelab bola sepak di negara ini tetap perlu usahakan sendiri aspek lain termasuk dana, pembangunan akar umbi dan infrastruktur.
“PJ City (Petaling Jaya City) jalin kerjasama dengan Manchester City, di mana PJ City pada hari ini? Saya sudah berkerjasama dengan banyak kelab, Borussia Dortmund (Jerman), Juventus (Itali), City Group, Valencia (Sepanyol) dan Saporro (Jepun).
“Tetapi kami hanya berkongsi kepakaran, pembangunan dan perancangan sahaja. Kelangsungan kelab, strategi komersial, duit, pembangunan akar umbi dan infrastruktur semua kena buat sendiri.
“Tiada orang akan tolong kita. Sebab itu saya cadangkan tahun depan FAM dan MFL untuk melaksanakan peraturan Financial Fair Play dan setiap pasukan mesti ada program akar umbi, wajib," tulisnya.
Komen TMJ hadir di laman instagram bola sepak, malaysiafootballleague berikutan kerjasama yang dijalinkan Kuala Lumpur (KL) City FC dengan kelab LaLiga Sepanyol, Cadiz CF.
Kata TMJ lagi, ia bertujuan untuk mengawal dan mendisiplinkan pasukan-pasukan berbelanja mengikut kemampuan masing-masing.
“Jadi tiada lebihan perbelanjaan dan tak bayar gaji pemain. Demi kelab untuk bertahan lama kerana tak semua kelab ada keistimewaan sapu duit kerajaan setiap tahun,” tulisnya.
Kredit: Sinar Harian
#bola sepak #Tunku Ismail Sultan Ibrahim #Liga Super Malaysia #Liga Bolasepak Malaysia
;